Pengiktirafan Green World Award 2016

08 Jan 2017



green award2016 UUM

      
 

UUM ONLINE: Naib Canselor, Prof Dato' Seri Mohamed Mustafa Ishak telah menerima sijil dan trofi daripada The Green Organisation di atas kemenangan merangkul pingat emas pada Green World Award 2016 For Education & Training yang berlangsung di Bucheon, Korea Selatan pada Oktober tahun lalu.

Beliau menerima anugerah tersebut yang disampaikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Noor Azizi Ismail di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, pagi tadi.

Selain itu, Prof Dr Noor Azizi turut menyerahkan sijil pemilihan sebagai Duta Green World 2016 dan sijil pengiktirafan sebagai 'Green World Leader' serta sijil kemenangan Green World Award 2016 atas komitmen terbaik terhadap amalan penjagaan alam sekitar.

Majlis pemilihan UUM sebagai duta Green World 2016 dan 'Green World Leader' telah berlangsung di Houses of Parliament, Wetsminster, London pada November 2016.

Green World Awards merupakan anjuran The Green Organisation, sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan pada 1994, bebas, tidak berasaskan keuntungan dan politik, sebaliknya ia mengiktiraf serta memberi ganjaran kepada organisasi yang menggalakkan amalan terbaik dalam penjagaan alam sekitar di seluruh dunia.

Penganugerahan itu secara tidak langsung akan membantu meningkatkan ekopelancongan, reputasi dan status UUM di peringkat dunia serta menggalakkan orang lain untuk bersama-sama menjaga alam sekitar.

Global Silver dimenangi Amman Arab University, Jordan dan Global Bronze dimenangi Oxford Brookes University, England bagi kategori Education & Training.

Hadir sama Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof Dr Yusnidah Ibrahim, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Prof Dr Haim Hilman Abdullah dan pegawai-pegawai kanan UUM.

HABIS.
                                                                                   (Sumber Berita : E-mel Hebahan Unit Komunikasi Korporat)

                    

footerservingyoursneeds2016